Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Keputihan
Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Keputihan
Bila anda bercakap tentang keputihan, reaksi pertama kebanyakan perempuan mungkin macam ini, “Ewww gelinya.” Atau mereka mengelakkan diri dari bersembang tentang topik itu. Tapi sebenarnya, keputihan adalah normal dan tak perlu untuk rasa geli terhadapnya.
Keputihan ialah cecair yang dihasilkan oleh kelenjar yang melapisi vagina dan serviks. Ia ada pelbagai fungsi, semuanya bertujuan untuk mengekalkan kesihatan kawasan kemaluan.
Perkara penting yang perlu anda tahu ialah ada 2 jenis keputihan yang berbeza: normal dan tak normal. Jom kita belajar tentang perbezaan ini supaya anda boleh tahu bila anda sihat atau bila anda perlu berjumpa dengan doktor.
Keputihan normal
Keputihan normal dihasilkan oleh kawasan kemaluan anda untuk pastikan ia kekal bersih, dan berfungsi sebagai pelincir untuk aktiviti fizikal. Ia juga membantu mengekalkan tahap pH optimum supaya bakteria baik boleh terus melakukan tugasnya: mengekalkan kesihatan kawasan kemaluan dan bebas daripada jangkitan. Di sini ada beberapa cara untuk anda mengenal pasti keputihan yang normal:
- Warna cerah atau sedikit kekuningan
- Teksturnya boleh jadi sedikit melekit. Tetapi ianya berubah-ubah mengikut peringkat kitaran haid anda
- Tidak berbau
- Tidak menyebabkan rasa sakit dan kegatalan
- Tidak menyebabkan kepedihan ketika kencing
Keputihan tak normal
Bila anda tak mengambil berat tahap kebersihan kawasan kemaluan, anda akan dapat keputihan tak normal. Ini satu cara badan anda untuk beritahu sesuatu yang tak kena dan satu jangkitan mungkin telah terjadi. Jika anda mengalami simptom yang tersenarai di bawah, sila berjumpa dengan doktor.
- Penambahan jumlah keputihan yang luar biasa
- Tekstur seperti keju atau dadih
- Bau hanyir atau kurang menyenangkan
- Keluar warna kekuningan, kehijauan atau keperangan
- Menyebabkan rasa sakit dan kegatalan
- Menyebabkan kepedihan ketika kencing
Kegatalan tak bermakna ianya jangkitan. Pakaian ketat, bulu yang baru nak tumbuh dan pencuci kain juga boleh menyebabkan kegatalan. Anda boleh mengelakkannya dengan memakai panty liner setiap hari. Ia mengurangkan risiko untuk dapat kegatalan dan membantu anda kekal bersih dan selesa.
Sumber: Maklumat diberikan oleh Dr. Norleen Mohd Salleh, MD, M.MED (O&G) - Hospital Pakar DEMC, Shah Alam.