Haid Pertama Anda
Hello, Haid Pertama
Kitaran haid pertama merupakan satu langkah utama anda melangkahi dari zaman remaja ke peringkat wanita. Perkara ini selalu jadi topik hangat, lebih-lebih lagi pada peringkat sekolah kerana ianya normal di kalangan remaja perempuan. Ia menandakan seseorang itu dah mencapai akil baligh. Haid pertama juga mempunyai terma saintifik tersendiri, iaitu Menarke. Setiap wanita akan melalui fasa perubahan pada badan mereka secara berbeza; ada yang berasa yakin bahawa dirinya sudah menjadi seorang dewasa, atau ada yang berasa sedikit gementar. Reaksi emosi (PMS) adalah normal, tetapi dengan mempersiapkan diri dengan segala maklumat tentang kedatangan haid yang pertama, anda boleh memberikan diri keyakinan untuk menghadapi situasi ini!
Apa itu haid?
Untuk mereka yang tidak tahu; haid merupakan sedikit darah yang mengalir keluar dari bahagian kemaluan wanita, dipanggil faraj (vagina). Pendarahan berlaku selama beberapa hari pada setiap bulan.
Kenapa perempuan mengalami haid?
Kami biasa menerima soalan ini daripada ramai perempuan seluruh Malaysia, dan soalan yang paling kerap ditanya, ‘Mengapa perempuan mendapat haid?’. Jawapannya mudah saja (lebih mudah dari ujian matematik, percayalah). Sebagai seorang perempuan, salah satu fungsi badan secara semula jadi adalah untuk melahirkan zuriat. Bila tiba masanya anda datang haid (datang bulan), ia bermakna badan anda telah bersedia untuk menghasilkan telur yang subur dan seterusnya menghasilkan bayi. Badan perempuan adalah satu ciptaan yang istimewa, dan kebolehan untuk mensenyawakan bayi di dalam badan merupakan salah satu ciri-ciri keistimewaan yang pastinya dibanggakan.
Setiap bulan badan anda akan menyediakan diri untuk hamil. Rahim (uterus) anda akan melalui perubahan dengan membina lapisan ekstra pada dinding rahim, proses ini adalah supaya fetus yang terbentuk boleh melekat dengan mudah. Jika anda tidak hamil, badan anda tak perlukan lapisan ekstra pada rahim tersebut dan ianya akan dikeluarkan daripada badan dalam bentuk darah haid. Darah haid datangnya dari lapisan tisu pada dinding rahim anda. Jika badan anda tidak mengeluarkan lapisan ekstra tersebut, ia merupakan risiko untuk jatuh sakit. Oleh itu, kitaran haid yang normal adalah bagus. Bunyinya macam kurang menyenangkan, tapi apabila anda betul-betul faham tentang proses keseluruhan dan petua dating haid, pasti mudah untuk anda nampak bahawa haid bertujuan untuk membersihkan organ pembiakan wanita dan tiada apa untuk dimalukan.