Haid

Masih tidak tahu bagaimana untuk mengira kitaran haid anda sendiri? Jangan risau, inilah masanya untuk belajar!

Masih tidak tahu bagaimana untuk mengira kitaran haid anda sendiri? Jangan risau, inilah masanya untuk belajar! Dengan adanya kalkulator kitaran haid ciptaan kami, pembelajaran pasti lebih mudah. Kedatangan haid adalah tanda bermulanya seorang wanita itu subur, dan pendarahan yang berlaku ketika ini adalah salah satu fasa di dalam kitaran haid. Kitaran haid biasanya mengambil masa satu bulan untuk dilengkapkan, sehinggalah pendarahan yang berlaku seterusnya. Jadi, apakah cara yang betul untuk mengira kitaran haid? Teruskan membaca artikel ini kerana disini akan dibincangkan proses yang berlaku di kitaran haid dan juga cara untuk mengira tempoh masa proses itu berlaku. Sesuatu kitaran haid secara umumnya mengambil masa 28 hari tetapi ianya berbeza untuk setiap wanita. Oleh itu, anda tidak perlu bimbang jika kitaran haid anda adalah 26 atau 30 hari kerana ianya normal. Setiap kitaran haid mempunyai 3 fasa yang seiring dengan proses yang dialami badan anda daripada fasa menunggu kematangan telur, fasa subur (kebarangkalian untuk hamil), sehinggalah fasa melupuskan telur Ketika kedatangan haid. Fasa-fasa ini amat penting untuk difahami bagi anda mengira kitaran haid dengan betul kerana ianya merupakan rutin bulanan bagi setiap wanita. Langkah pertama: Hari bermulanya kitaran haid. Segalanya bermula pada hari pertama kitaran haid anda. Perkara pertama yang perlu anda ketahui adalah mengenalpasti bilakah hari pertama mulanya kitaran haid tersebut. Hari dimana anda mengesan tompok-tompok darah di seluar dalam anda mahupun ianya tidak semerah darah yang normal (kerana tompok darah haid juga muncul seakan kecoklat-coklatan), hari tersebutlah merupakan hari pertama kitaran haid anda! Pada hari pertama ini juga lah bermulanya fasa yang dipanggil fasa folikular. Catatkanlah waktu ini pada nota dan juga kalender haid anda. Pengiraan setiap fasa yang berikutnya dalam kitaran haid akan bermula daripada hari pertama kedatangan haid itu berlaku. Langkah kedua: Berapa lamakah fasa pertama iaitu haid berlaku? Pendarahan disebabkan haid biasanya akan berlaku selama 5 ke 10 hari. Namun begitu, penting untuk diingatkan sekali lagi, tempoh masa sesuatu fasa itu berbeza untuk setiap wanita. Setiap wanita mempunyai tubuh badan yang unik. Dengan mempelajari kitaran haid sendiri, anda sekaligus belajar untuk memahami diri sendiri. Catatkan tempoh kedatangan haid anda di kalendar haid. Biasanya fasa folikular mengambil masa yang lebih lama daripada fasa pendarahan haid, iaitu sekitar 12 ke 14 hari, daripada hari pertama kitaran haid bermula. Ini bermakna, badan anda masih di dalam fasa folikular walaupun darah haid sudah berhenti. Badan anda pada waktu ini akan bersedia untuk melepaskan telur pada fasa subur yang seterusnya, dengan harapan persenyawaan (kehamilan) akan berlaku. Langkah ketiga: Bilakah mulanya waktu subur? Sekitar hari ke-14 kitaran haid, fasa seterusnya iaitu fasa pengovulan berlaku dimana badan akan bermula menghasilkan hormon-hormon yang bertujuan untuk mematangkan telur baharu. Telur ataupun ovum ini akan keluar daripada salah satu ovari dan bergerak melalui tiub fallopio bahagian yang sama. Sesetengah wanita akan mengalami sedikit ketidakselesaan di bahagian abdomen semasa ovum dilepaskan daripada ovari. Namun begitu, ianya juga normal jika seseorang itu tidak merasa apa-apa ketika proses ini berlaku. Langkah keempat: Haid bakal tiba lagi. Selepas fasa kesuburan berakhir, bermulalah pula fasa luteal. Rahim tidak mengetahui jika kehamilan sudah berlaku ataupun tidak ketika dalam fasa ini. Rahim ketika ini secara automatik akan menganggap bahawa ada ovum yang telah disenyawakan (bahawa ia telah menerima sperma) dan mula menguatkan lapisan dindingnya untuk menerima embrio (yang akan mencipta bayi). Lapisan dinding rahim yang tebal inilah yang memainkan peranan yang besar ketika haid, kerana dinding rahim ni akan luruh apabila tiada embrio yang melekat. Maka bermulalah fasa Ketegangan Pra-Haid atau lebih dikenali dengan singkatan PMT. Kesakitan dan ketidakselesaan disebabkan PMT boleh menjadi makin teruk sehinggalah hari ke-28 kitaran haid anda, ataupun haid anda yang bakal sampai. Semakin dekatnya kedatangan haid anda, semakin tidak bermaya dan letih anda akan rasa. Oleh itu, disinilah pengiraan kitaran haid yang telah anda lakukan dapat membantu untuk mengenalpasti hari yang patut anda mengutamakan rehat. Ambillah masa ini untuk banyakkan berehat. Semua wanita biasanya melalui perkara yang sama. Fasa luteal ini akan bertahan sehingga hari pertama kedatangan haid anda. Maka anda patut bermula mengira kitaran haid yang baru. Ya! Inilah sebabnya proses haid ini digelar satu kitaran kerana ianya berlaku setiap bulan #AnewCycle. Sekarang anda telah tahu bagaimana caranya untuk mengira kitaran haid anda. Selepas mengira dua atau tiga kitaran sahaja, anda akan dapat mula meramal setiap fasa yang berlaku dalam kitaran anda. Akhir kata, memahami kitaran haid diri sendiri adalah sesuatu yang memperkasakan diri!

Recommended Products