Haid

Apa Yang Menyebabkan Haid Tidak Menentu? oleh Dr. Aliza

Apa Yang Menyebabkan Haid Tidak Menentu? oleh Dr. Aliza

Boleh katakan ramai perempuan yang tak berapa gemar tentang haid, dan kebanyakan hanya sedar tentang kepentingan proses semulajadi ini dalam tempoh sebulan, tiada pendarahan berlaku tapi tiba-tiba ia datang tanpa dijangka. Apa yang berlaku sebenarnya bila haid anda tak menentu? Jom kita fahamkan macam mana kitaran haid berfungsi.

Semasa seorang perempuan tengah subur, telur akan jadi matang di dalam ovari ketika kitaran yang selalunya berlanjutan selama 28 hari (kadar hari ini berbeza mengikut individu dan juga berubah mengikut kitaran haid berlainan). Pada hari ke-5 kitaran haid, kira-kira 20 biji telur mula jadi matang di dalam folikel pada ovari. Setiap satu folikel ini bentuknya macam kantung kecil yang berisi cecair. Masa hari ke-15 hampir tiba, salah satu folikel biasanya akan matang lebih awal dan akan melepaskan telur-telur yang dah matang untuk disenyawakan. Apa yang jadi pada folikel lain? Ia akan mengecut dan diserap balik ke dalam badan. Tapi bagi folikel yang dah matang pula, ia akan bertukar menjadi "korpus luteum", yang bertanggungjawab untuk menghasilkan hormon progesteron bagi memastikan uterus bersedia untuk terima telur yang dah disenyawakan.

Kalau telur tak disenyawakan, ia akan dihancurkan dan kemudiannya mati. Korpus leteum juga akan layu dan berderai. ini menyebabkan uterus menghakis lapisan di dining, endometrium, sekaligus menjadi darah yang keluar melalui vagina iaitu darah haid.

Apa itu kitaran haid normal?

Maknanya jarak di antara setiap kitaran adalah seragam. Seperti yang dikatakan, selalunya selama 28 hari, tapi bergantung kepada setiap individu, kitaran haid boleh jadi selama 20 hingga 35 hari.
Apa itu kitaran haid tak menentu? Maknanya jarak di antara setiap kitaran berubah pada setiap bulan. Kadang-kadang boleh jadi 28 hari, kadang-kadang 20 hari, kadang-kadang 30 hari.
Kitaran haid tak menentu adalah normal. Kami nampak ianya berlaku kerap di klinik. Ada banyak faktor yang mempengaruhi kitaran haid yang tidak menentu, contohnya jika anda seorang remaja, hormon badan anda boleh meningkat dan akan mengambil masa untuk jadi seimbang. Oleh itu, sangat normal untuk kitaran haid jadi tak menentu ketika zaman remaja atau kadang-kadang haid datang tak tepat dengan jadual.

Sebelum kita teruskan, ingatlah yang sebab utama kenapa haid tak muncul-muncul adalah kehamilan. Jadi kalau haid anda lambat sangat untuk tiba, pastikan yang bukan ada bayi nak dilahirkan.

Jom kita lihat faktor-faktor utama penyebab kitaran haid yang tak menentu:

  • Masalah pemakanan, seperti anoreksia dan bulimia
  • Berat badan bertambah atau berkurang secara berlebihan; terlalu kurus dan obes boleh menjadi penyebab
  • Stres atau gangguan emosi
  • Masalah hormon, contohnya seperti masalah pada kelenjar tiroid
  • Melancong
  • Terlebih bersenam: Jika anda seorang atlit dan bersenam dengan kerap, anda mungkin berhenti didatangi haid kerana badan anda ingin menyimpan tenaga dan haid memerlukan tenaga yang banyak.
  • Masalah dengan organ-organ pelvik (seperti sindrom polisistik ovari)
  • Ubat seperti pil cegah kehamilan boleh mengganggu frekuensi dan tahap haid
  • Menyusukan anak
  • Haid yang tidak stabil dan haid yang berhenti boleh disebabkan oleh kondisi yang dipanggil “kegagalan ovari pra-matang” yang membuatkan seorang perempuan berhenti menerima haid sebelum umur 40 tahun. Ini mungkin berpunca daripada radiasi, pembedahan atau kemoterapi, jika perempuan itu ada kanser.

Jangan lupa jika anda aktif secara seksual dan tidak ada niat untuk hamil, anda perlu gunakan cara-cara kawal kehamilan yang boleh dipercayai supaya haid tak menentu ini tak berikan anda kejutan. Ingat juga jika haid anda tak sampai-sampai, tak bermakna anda tak akan hamil. Risiko tetap ada! Kalau tiada niat langsung untuk dapatkan anak, sila berhati-hati ya.

Seperti yang selalu dipesan, saya cadangkan untuk anda dapatkan nasihat daripada pakar kesihatan jika ada apa-apa soalan tentang hai yang tak menentu ini. Dengan rajin bertanya, anda akan sentiasa bersedia jika mendapat simptom-simptom yang perlukan rawatan. Sentiasa utamakan kesihatan anda!

Sumber: Artikel diadaptasi daripada sumber artikel asli U by Kotex – Australia

Recommended Products