Kenapa Saya Mengidamkan Coklat Betul-betul Sebelum Haid?
Kenapa Saya Mengidamkan Coklat Betul-betul Sebelum Haid?
Siapa yang tak suka coklat kan? Setiap seorang pasti pernah mengidam. Hari ini mengidam coklat. Esok, mengidam pisang goreng dengan ais kacang pula! Jenis makanan mungkin berubah-berubah, tapi yang pasti perasaan mengidam makanan akan semakin kuat bila haid semakin dekat.
Satu simptom biasa sindrom prahaid ialah mengidam makanan spesifik. Untuk sesetengah perempuan, mereka mengidamkan coklat! Sama macam simptom PMS yang lain seperti kejang perut, kembung perut dan mood berubah-ubah, mengidam disebabkan oleh hormon yang berlebihan. Betul-betul sebelum haid anda bermula, tahap hormon estrogen, serotonin dan kortisol dalam badan akan berubah. Untuk kebanyakan perempuan, perubahan tahap hormon-hormon ini membuatkan mereka mengidam. Ada yang mengidam makanan bergaram, ada yang mahukan benda-benda manis dan ada juga yang suka makanan berlemak. Ianya normal untuk anda makan semua itu, asalkan tak diambil secara berlebihan. Kami cadangkan supaya anda tak makan terlalu banyak, sebab kalau diambil secara banyak boleh buatkan perut anda jadi lebih kembung dan rasa bertambah tak selesa.
Kunci utama untuk kawal rasa mengidam anda ketika datang bulan ialah dengan mengelakkan diri dari makan terlalu banyak. Daripada makan satu bekas penuh aiskrim, cuba untuk makan satu aiskrim kon sahaja. Daripada makan coklat bersaiz besar, apa kata makan yang saiz kecil dalam dua tiga ketul. Cuba minum air kosong dengan banyak dan juga bersenam. Ambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran juga, mana tahu ia boleh mengurangkan rasa mengidam anda. Tapi ingat - jangan sampai menyeksa diri. Kalau anda dah makan coklat dan tiba-tiba rasa menyesal, terus keluarkan peluh sikit dengan berlari atas treadmill atau menari di dalam bilik.
Berita baik dalam topik ini? Risiko untuk berat badan anda bertambah adalah sangat tipis jika anda kawal kuantiti makanan ketika mengidam. Saintis telah membuat kajian yang menemui kebanyakan perempuan membakar lebih banyak kalori sebelum bermulanya kitaran haid mereka. Asalkan anda berpada-pada setiap kali menikmati coklat sebelum haid anda sampai, anda juga boleh selit makanan yang diidamkan dalam diet anda yang sihat dan seimbang.
Sumber: Artikel diadaptasi daripada sumber artikel asli U by Kotex – Australia